RAIS SARAN PRODUSER BUAT FILEM BOLEH DITAYANGKAN SELURUH DUNIA

0 comments


Rais meminta kandungan sesebuah filem harus diubah agar menepati cita rasa semua bangsa selain meminimumkan kisah hantu dan khayalan. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mahu penerbit filem Melayu menghasilkan produk yang boleh dipasarkan ke luar negara menerusi kerjasama dengan penerbit filem bukan Bumiputera.
Beliau berkata kandungan sesebuah filem juga harus diubah agar menepati cita rasa semua bangsa selain meminimumkan kisah hantu dan khayalan.
“Orang Melayu tidak boleh lagi hanya mengeluarkan filem untuk orang Melayu, begitu juga orang Cina dan orang India. Mari bekerjasama supaya industri filem kita keluarkan produk sebagai satu industri, dan bukan untuk satu kaum.
“Orang Melayu mesti boleh berkawan dengan orang bukan Melayu, dan sebaliknya. Bikin filem yang boleh dijual di luar seperti China, Taiwan dan Hong Kong,” katanya ketika berucap pada Majlis Meraikan Petugas Media Liputan Umno dan Pemberian Insentif Filem Cereka di Bangunan Sultan Abdul Samad hari ini.
Rais juga berkata sesebuah filem perlu memiliki jalan cerita yang menarik serta memenuhi selera semua pihak, terutama orang muda.
Beliau berkata, bagi mewujudkan paparan baharu berhubung filem tempatan, penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan diperluas terutama dalam aspek komunikasi serta pembangunan peralatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Rais berkata penggabungan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Jabatan Filem Negara Malaysia hendaklah menghasilkan dokumentari yang setanding produk badan bukan kerajaan (NGO) seperti National Geographic dan History Channel.
Katanya, untuk itu, Finas perlu mewujudkan fasiliti pasca produksi dengan kerjasama swasta serta pihak luar seperti Indonesia dan Singapura supaya dapat direalisasikan segera.
“Saya dapat tahu daripada rakan-rakan industri, dengan kos RM40 juta, kita boleh adakan satu skim yang baik untuk pasca produksi.
“Saya akan berunding dengan SKMM dan rakan-rakan supaya kandungan komunikasi dapat diberi kepada pihak yang boleh menerajui zaman baharu,” katanya. - BERNAMA


sumber : http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2012/12/24/mstar_hiburan/20121224185446
Share this article :