ANALISA : REVIEW FILEM PENANGGAL (2013) - NASKHAH KETUHANAN

0 comments



WP Iktiraf Filem Penanggal 4


Apabila berpeluang menonton Filem Penanggal hari ini (28 November 2013) untuk kali ke-2, aku teruja menulis review filem melayu yang dah lama aku tak sentuh sebab kesuntukan masa. Jadi diharap dengan penulisan nie, pandangan aku bebas tanpa prejudis. Maaf, pandangan terhadap teknikal serta penataan seni, bukan ruangan ini. Selamat membaca.

FILEM PENANGGAL adalah sebuah filem ketuhanan bagi aku. Rata-rata pandangan dari sahabat, naskhah ini terlalu berat hingga semua elemen mahu disampaikan pengarah. Tapi bagi aku, ia sebenarnya cukup dalam segala rangkuman.

Menonton Penanggal adalah satu pengalaman. Di mana anda akan dibawa merantau ke sebuah perkampungan Tanah Melayu zaman 30-an dan anda sendiri akan berkongsi ketakutan serta dendam penduduk kampung terhadap gangguan penanggalan yang menganggu dan membunuh ibu-ibu yang melahirkan anak.

Sudah semestinya, niat anda ke panggung menonton filem seram untuk menguji adrenaline ketakutan anda. Tetapi dalam Penanggal, ia sebuah naskhah ketuhanan yang sangat mendalam menyentuh tentang akidah serta tauhid. Buangkan sifat mahu menonton hantu. Bukan, ia sebuah filem yang berdiri atas dasar akidah serta qada' & qadar setiap takdir manusia, bagi saya.

Pernah anda terfikir, apakah nasib insan yang terpaksa mewarisi syaitan belaan nenek moyangnya?

Siapa anda untuk menghakimi nasib manusia apabila ia terpaksa menerima nasib sebagai pewaris terakhir ilmu syaitan penanggalan? Filem ini membawa anda menyelusuri jauh ke dalam hati seorang gadis bernama Murni (lakonan hebat Ummi Nazeera) tanpa rela hati mewarisi hantu penanggal dari neneknya Mak Ajeng (Normah Damanhuri). Saat neneknya mati, Murni cuba melarikan diri yang telah lama dikongkong oleh nenek. Tapi atas dasar kasihnya, ia kembali dan Syaitan itu perlukan pewarisnya.

Selepas Murni menerima warisan saka penanggal, serangan penduduk yang marah, mereka terpaksa berpindah jauh ke dalam hutan yang 'disembunyikan' dari penglihatan orang kampung.

Salah satu scene yang buat aku tersentuh, dalam perjalanan mereka  di hutan bakau menuju ke tempat persembunyian, Murni terkenangkan saat-saat indah dirinya 'bersama' Tuhan suatu ketika dahulu. Saat-saat indah ia mengaji bersama anak-anak kampung membaca Surah Al Ikhlas - salah satu surah di dalam Al Quran yang mentauhidkan Allah tanpa sekutu yang lain walaupun syaitan. Murni menangis akan nasib diri.

tika surah Al Ikhlas berkumandang, nenek menekup telinganya di tangga rumah,
Murni marah "..kini kehidupanku di dalam genggaman nenek.." ia dalam genggaman syaitan.

Murni menghadapi detik-detik pembunuhan demi pembunuhan penduduk kampung yang dilakukan oleh syaitan penanggalan yang mempergunakan tubuh badannya sebagai perantara.

Bagaimana pengarah filem ini, Ellie Suriaty memberi bantuan terhadap nasib malang si Murni pada pengakhiran ACT 1 (struktur pertama)?

Semestinya dari Allah jua jawapannya.

Seorang lelaki yang dianggap sebagai ahli sufi dari Arab berketurunan Syed, iaitu Syed Yusof (lakonan Azri Iskandar) digambarkan pengarah adalah ; Allah menghantar ahli sufi ini untuk menyelamatkan Murni, di layar kita penonton melihatnya sebagai pertemuan kebetulan ;

selepas syaitan membunuh jiwa baru, Murni akan diberi kecantikan dan dengan keyakinan itu, ia keluar mencari jiwa bebas bersosial sebagai manusia biasa di kalangan penduduk kampung dalam scene pekan  sayur tepi sungai. Tapi rahsianya sebagai pemilik penanggal, bocor di tengah sawah.

Ahli sufi ini bertembung dengan Murni di jalanan. Ketika itu kemarahan penduduk kampung Seriwangi yang ingin membunuh Murni lalu diselamatkan ahli sufi ini iaitu Syed Yusof.

Saya amat hairan, apabila ramai pertikaikan maksud kewujudan keluarga Arab yang dikatakan tidak perlu. Ia dikatakan padat serta serabut. Berbalik kepada tujuan serta niat anda menonton filem ini ketika melangkah ke pawagam.

Di sini saya bertanya, adakah anda penonton mahukan penyelamat Murni dari kalangan sufi ini,
turun dari langit tanpa latarbelakang yang jelas? Atau watak penyelamat akidah ini tiba-tiba muncul dari pokok?

Jadi, pengarah cuba memberi ruang penonton mengenali lebih mendalam terhadap watak Syed Yusof serta seluruh keluarga sufi ini, sifat-sifat percintaannya, termasuk majlis pertunangannya bersama gadis dari kaum kerabat Arab yang sama iaitu Sharifah Zahrah (lakonan Fasha Sandha) serta disulam kemas konflik kecil percintaan antara Fasha Sandha dan watak Syed Umar (lakonan Zul Ariffin).

Itu tak menjadi masalah andai kita menonton filem ini dengan kusyuk. Bukan cara kita menonton filem-filem aksi lain, di mana tiba babak yang banyak dialog, kita sibuk buat hal sendiri, tapi bila tiba babak aksi, tarikannya buat kita terpaku seketika menonton.

Juga tidak menjadi masalah, andai kita menonton filem ini bukan untuk mencari kesalahan pembikin.

Sebenarnya naskhah ini 'memaksa' kita makan segala yang diberi termasuk bahasa-bahasa yang dilontarkan tanpa sebarang tolehan dan tumpuan agar kita faham makna kulit dan isinya.

Struktur cerita semakin bergerak. ACT 2 semakin menyeramkan. Keterpaksaan terhadap Murni menimbulkan belas ihsan. Jika anda bosan mendengar dan menonton, ia adalah sebuah filem bosan bagi anda. Sebaliknya jika anda menonton dengan jiwa, anda akan teruja.

Apabila ahli Sufi ini memandang Murni buat pertama kali (ketika dibelasah penduduk kampung), hatinya terdetik ingin menolong si gadis yang dianggapnya sebagai mangsa penindasan barangkali.

Ahli Sufi ini merantau jauh ke dalam hutan mencari jejak-jejak Murni hingga tiba di pondok persembunyian Murni bersama Pak Kadam (lakonan hebat Jeff Omar). Inilah sifat-sifat tabligh si pemegang prinsip beragama (Syed Yusof) yang cuba membantu sang saliq (Murni) yang tersasar jauh walau miliki secebis iman.

Syed Yusof menetap di pondok Murni bersama Pak Kadam  dengan tujuan bantuan rohani. Atas dasar ketampanan dan nur di wajahnya, Murni jatuh cinta pada Syed Yusof dan begitu sebaliknya dan, telah cukup lengkap watak Murni diolah. Murni diberi rasa cinta pula. Dan suntikan ini sebenarnya juga mencabar jaguh ahli sufi yang berhadapan dengan cinta baru yang sangat asing, walau dirinya telah bertunang. Juga melalui sihir, Syed Yusof dipukau untuk terus tinggal bersamanya di pondok tersebut.

Percintaan melaui pandangan mata mereka berdua, walau bukan di bibir sangat ketara, tanpa perlu pengarah menggambarkan di visual, ahli sufi ini terlanjur asmara bersama Murni kerna kesucian Islam yang dipertahankan dalam filem ini.

Diceritakan ketika penggambaran scene pukau makan cacing yang diberi Murni, Azri Iskandar dibiarkan terus berlakon tanpa ada jeritan 'CUT' untuk selamatkan cacing-cacing tersebut masuk ke mulut. Atas dasar lakonan yang menjiwai watak Syed Yusof ketika itu, Azri Iskandar menelan bulat-bulat cacing hidup segenggam dalam set penggambaran tika kamera masih berputar. Cuma dalam filem di layar ini, ia terpaksa disembunyikan dalam penyuntingan atas sebab-sebab tertentu.
*ini bukan filem Fear Factor. Ini filem melayu yang berhadapan dengan LPF (harap faham).

Setelah kekejaman demi kejahatan dilakukan Murni untuk terus cantik di mata Syed Yusof, Akhirnya ahli sufi ini membuat keputusan turun ke bawah pondok dan menemui sesuatu! Nak tahu? Jom kita ke pawagam.

Dan selepas anda menggunakan akal berfikir sejenak, anda jelas kenapa elemen Arab disuntik dan Jawa digemburkan. Kalaulah kita menonton semuanya melayu, di manakah kelebihan atau production value yang dimiliki filem ini? Inilah kemanisannya.

Apa-apa pun, syabas buat Ellie Suriaty, kerana berjaya meng-Esa-kan Allah subhanahuwata'ala dalam pengakhiran cerita filem ini. Adil memberi masa depan terhadap watak yang kita sendiri akan nampak dalam adegan akhir tersebut. Masa depan bukan dunia semata. Ia pergi tenang dengan senyuman. Subhanallah. Indah semuanya!

* Filem Penanggal di Pawagam berdekatan 28 November 2013!

Terima Kasih,
Shuhaimi Zulkefli

















Share this article :