Di antara salah satu trivia menarik yang dicipta secara tidak sengaja oleh rakyat Malaysia ialah pawagam Malaysia mencatatkan kehadiran penonton paling sedikit di dunia dikira dari peratusan keseluruhan rakyatnya!
Ia bermakna kebanyakan rakyat Malaysia bukanlah suka menonton wayang, malah jika ada penonton yang berulang-ulang sekalipun ia hanyalah di dalam kuantiti yang sedikit. Jika membandingkan kepada statistik diri saya sebagai penonton wayang, saya percaya fakta itu mungkin ada kebenarannya.
Saya terdetik untuk mengulas tentang Syarat Wajib Tayang yang diperkenalkan di Malaysia. Peraturan ini dicipta dengan niat untuk membantu pengusaha filem mendapatkan penonton yang ramai, yang mana mereka diberikan hak khas selama satu minggu untuk menayangkan filem mereka tanpa diganggu oleh filem-filem tempatan yang lain. Jika sambutan menggalakkan, pemilik wayang boleh menambah masa tayangan kepada minggu-minggu yang berikutnya tetapi jika ia tidak menguntungkan, pemilik wayang boleh menutupnya selepas habis satu minggu.
Oleh kerana jumlah penonton Malaysia tidak ramai, bahkan filem Malaysia belum cukup kuat untuk bertarung dengan filem-filem luar di negara sendiri apatah lagi di luar negara, Syarat Wajib Tayang ini sentiasa menjadi pilihan pengusaha filem.
Kebanyakan pengusaha filem yang tidak menggunakan syarat ini selalunya berpendapat filem mereka agak kuat dan dapat memberi keuntungan, walaupun begitu mereka terpaksa menanggung risiko filem mereka disingkirkan lebih awal di pawagam jika filem itu tidak mendapat sambutan.
Pernah penerbit Ratu The Movie, Latif Mohaideen menyuarakan ketidakpuasan hatinya tentang syarat ini yang dianggap tidak begitu adil kepada semua pengusaha filem. Ia dibangkitkan apabila filemnya terpaksa bersaing dengan Merong Mahawangsa yang disiarkan seminggu lebih awal, memandangkan filem epik Merong Mahawangsa ini mendapat sambutan di luar kebiasaan. Hasilnya, dia menerima tempias apabila kebanyakan penonton tidak memilih untuk menonton Ratu The Movie.
Saya sebenarnya tidak begitu nampak tentang rungutan beliau. Mungkin dia mengakui bahawa filemnya kurang bermutu, maka dengan itu dia menyalahkan syarat wajib tayang yang telah diperkenalkan. Di dalam wawancaranya dengan Berita Minggu, dia memberikan metafora seperti berikut;
Ironinya beginilah, kalau anda ada RM10, anda akan pilih nasi ayam di gerai atau KFC? Harganya sama, tentu ramai pilih KFC.
Saya percaya dia menyamakan Merong Mahawangsa dengan KFC, dan tentu saja Ratu The Movie dengan nasi ayam di gerai. Soalnya benarkah begitu? Adakah semua orang yang mempunyai RM10 akan memilih KFC? Jika nasi ayam di gerai lebih lazat dan mengenyangkan, tentu saja ramai orang tidak akan malu-malu menikmati hidangan nasi ayam di gerai.
Pada pandangan saya, metafora sebegini tidaklah begitu tepat. Tidak semua orang akan memilih hidangan KFC jika punya wang dengan nilai yang sama. Begitu juga tidak semua orang akan memilih untuk menonton Merong Mahawangsa jika filem Ratu The Movie mempunyai kualiti filem yang baik. Namun jika dibanding-banding secara kasar, filem Ratu The Movie sekali imbas hanyalah mempertaruhkan keseksian pelakonnya berbanding Merong Mahawangsa yang lebih serius. Tentang seksi ini, kebanyakan penonton sudah jemu untuk melihatnya.
Latif Mohaideen juga mendakwa pelaburan besar Merong Mahawangsa tentu saja membuatkan ramai orang teruja untuk menontonnya, manakala Ratu The Movie yang menggunakan belanja yang kecil tidak akan dapat menyaingi kehebatan Merong. Bagi penonton biasa, belanja yang besar bukanlah satu isu yang menghadirkan penonton ke pawagam. Tentu sahaja belanja besar akan membuatkan filem lebih cantik dan berkesan, tetapi ia tidak memainkan peranan yang besar. Jika filem berbelanja besar dapat menarik perhatian ramai, mungkin filem seperti Sumolah atau Jogho dapat mengaut keuntungan yang besar.
Bagi saya, filem-filem Malaysia sangat klise. Kebanyakan filem dapat kita ramal klimaksnya selepas 15 minit tontonan, menyebabkan saya berasa sangat jemu dan bosan. Buatlah filem yang lebih baik, lebih jujur dan di luar kebiasaan.
Dengan sebab itu saya masih lagi teruja untuk menonton Saving Private Ryan, The Rock, Buli, Buli Balik atau The Others kerana filem-filem ini unik dan mempunyai nilai yang tersendiri.
Penulis : http://kelisasamudera.blogspot.com/