Bagi WP, koloborasi terbaik dalam sejarah filem dunia ialah antara MARTIN SCORSESE dan ROBERT DeNIRO kerana mereka bersama pernah menghasil kan filem hebat seperti Mean Streets (1973), Taxi Driver (1976), Raging Bull (1980) dan Goodfellas (1990).
DeNiro adalah raja di layar Scorsese tetapi aku memilih THE KING OF COMEDY kerana ia lari daripada filem mereka yang disebutkan tadi, kerana filem ini ada unsur black comedy. Watak DeNiro bukan seperti mafia hebat James Conway dalam Goodfellas tetapi sebagai Rupert Pupkin yang tragis, kelam-kabut dan sebenarnya gila!
Pupkin punyai obsesi untuk menjadi pelawak serta obses untuk mendapatka autograf orang pupular dan kerjanya hari-hari ialah menunggu di Time Square (bukan Berjaya Time Square taw!) untuk mencari selebriti. Di fikirannya, dia adalah pelawak pentas terbaik dan sering berimaginasikan aksinya di pentas. Tidak cukup dengan itu, imaginasinya meliar kerana dia turut obses dengan Jerry Langford – seorang hos dan pelawak terkenal yang diperan oleh Jerry Lewis. Impian Pupkins ialah untuk muncul dalam rancangan Langford untuk mempersembahkan aksi komedinya dan akhirnya akan duduk selesa di kalangan semua selebriti. Pupkins tidak mahu langsung berfikir untuk meningkatkan kreativiti jenakanya atau bersabar untuk jadi pelawak hebat, sebaliknya dia mahukan kegemilangan sepantas kilat.
Pupkin licik pada awal filem membantu Langford mengelak daripada diserbu peminat yang mahukan autografnya lalu pada masa yang sama Pupkin menyelinap masuk ke dalam kereta Langford. Pada masa itu, Pupkin mengambil kesempatan memberitahu yang dirinya handal berjenaka di pentas dengan kreatif. Pada awalnya, sebab mahu tunjuk baik, Langford memberikan Pupkin galakan tanpa mengetahui bahana yang akan di hadapi kemudian.
Pupkin jadi masalah kepada Langford. Setiap hari dia akan ke pejabat Langford sehingga dibuang keluar. Kemudian Pupkin terus mengganggu Langford dengan menelefonnya setiap hari tetapi itu tak cukup lagi kerana Pupkin buat yang lebih drastik dengan menculik Langford.
DeNiro memberikan perwatakan yang baik, merealisasikan sesuatu obsesi dengan sempurna. Filem ii memberikan definisi sebenar black comedy kerana aku ketawa sedikit ketika menontonnya kerana selebihnya perasaan aku sedih. Sedih kerana watak dan perwatakan Pupkin itu ada dalam diri kita dan orang yang mungkin selalu berada di sekeliling kita.
The King Of Comedy (1983) dulu flop di hollywood tetapi bagi aku ia adalah sebuah filem yang wajar dikaji dan besar jiwanya!